Showing posts with label cikgu oh cikgu. Show all posts
Showing posts with label cikgu oh cikgu. Show all posts

Sunday, November 24, 2013

Pelajaran baru

Tahun ni, satu lagi pelajaran baru yang aku pelajari dalam kerjaya aku. Pertama kali jaga spm. Dan pertama kali juga bertugas di hospital. Sungguh sebelum ni tak pernah terfikir pulak bagaimana agaknya pelajar-pelajar yang menjawab peperiksaan di hospital. Maka berulang-alik lah aku dari rumah ke hospital.

Hospital. Faham-faham sajalah bagaimana keadaannya. Macam aku ni nak jejakkan kaki ke hospital tu memang tak lah kalau tiada apa-apa urusan kan..tapi dalam masa hampir sebulan ni, itulah tempat yang aku selalu ulang-alik. Banyak yang aku belajar. Bila aku lihat pesakit-pesakit di hospital tu, buat aku berfikir betapa beruntungnya aku. Allah masih belum tarik nikmat sihat tu daripada aku. Alhamdulillah.

Satu lagi yang menyentuh hati aku ialah kasih sayang seorang ibu, seorang ayah, seorang suami, seorang isteri, seorang adik, seorang kakak, seorang abang dan sesiapa sahaja terhadap orang-orang yang mereka kasihi. Betapa setianya ibu temankan anaknya, melayan keluh kesah anak mereka, berdoa agar Tuhan kurniakan nikmat sihat terhadap anak mereka. Juga buat aku terfikir, secekal itukah aku nanti...

Dan akhir sekali, aku nak lahirkan rasa kagum aku kepada petugas-petugas di hospital. Melayan pesakit yang berbagai-bagai ragam, berbagai-bagai kerenah. Insya Allah jika kita menjalankan tugas kita dengan ikhlas, ganjaran di sana menanti kita..mudah-mudahan.

Buat calon-calon yang mengambil peperiksaan di hospital, kuatkan semangat...ambil lah kesakitan itu sebagai dugaan dari Allah. Jangan cepat putus asa, jangan cepat patah semangat.

p/s: Dalam tempoh ni, aku masih belum terserempak dengan kawan-kawan aku yang tengah buat houseman dekat sini..kalau ada rezeki, insya Allah..aku bangga dengan kalian.

Wednesday, October 2, 2013

Bermulanya peperiksaan Penilaian Menengah Rendah

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

Bulan Oktober dibuka dengan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah yang bermula pada hari ini, 02/10/2013 dan akan berakhir pada 09/10/2013. Tentunya pelajar-pelajar tidak kurang guru-guru juga merasai debaran peperiksaan ini. Tahun terakhir kan...

Semalam, pelajar-pelajar aku datang mohon restu, minta maaf dan sebagainya. Jelas aku lihat ada sedikit gentar dalam hati mereka. Ya, aku juga turut merasainya. Walaupun aku tidak lagi mengajar mereka pada tahun ini. Jadi aku nak ucapkan selamat menduduki peperiksaan kepada semua pelajar tingkatan 3 batch 98 khasnya. Ingat, segala USAHA, penat belajar, bangun malam, tusyen, group discussion dan sebagainya akan terbayar dengan kejayaan. Insya Allah..

Tapi, ia mestilah diiringi dengan
DOA + TAWAKKAL

Sedikit tips:

1. Sebelum tidur pastikan slip peperiksaan, kad pengenalan dan alat tulis yang berkaitan sudah dimasukkan ke dalam beg. Kalau ada kertas matematik, jangan lupa kalkulator, protraktor dan jangka lukis (compasses)

2. Pastikan baju sekolah telah digosok supaya tidak kelam kabut sekiranya terbangun lewat

3. Tidur awal supaya dapat keesokannya otak dalam keadaan fresh.

4. Semak jadual supaya anda betul-betul tahu subjek apa yang akan dijawab keesokan harinya

5. Sebelum ke sekolah, alas perut dengan sedikit makanan. Susu, roti, biskut dan sebagainya.

6. Salam tangan ibu bapa dan mohon mereka doakan agar dapat menjawab soalan dengan tenang

7. Selepas tamat kertas peperiksaan, JANGAN sesekali berbincang atau mencari jawapan. Ini untuk mengelakkan daripada emosi terganggu untuk kertas seterusnya.

8. Dan yang terakhir, setelah tamat peperiksaan, bertawakkallah dan mohon doa tanpa henti agar dipermudahkan pemeriksa yang akan menanda kertas kita tu nanti..

Usaha sudah, doa sudah, kini tinggal anda untuk buat yang terbaik, berikan yang terbaik, muntahkan segala tips-tips dan apa yang telah dipelajari di atas kertas nanti..

SELAMAT BERJAYA.

Thursday, April 18, 2013

Ohh..pelajar-pelajarku

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

Sudah masuk April. Hampir genap setahun aku bergelar guru secara rasminya. Secara total. Bila dah jadi cikgu ni pagi petang siang dan malam memang asyik fikir pasal sekolah, pelajar, PBS, buku rekod, bla bla bla. Dan sememangnya tugas guru masa kini tersangatlah mencabar. Lebih-lebih lagi mengajar generasi-Y. Generasi yang boleh aku kata banyak sangat cabaran bagi mereka. Dah nama pun generasi-Y ni mereka sememangnya celik IT, celik teknologi. Malah mereka punya gadget mengalahkan cikgu-cikgu mereka.

Dan disebabkan itu, aku sendiri tidak terlepas dalam menghadapi dugaan dan cabaran yang maha berat ni. Sudah menjadi lumrah bila kita sayangkan seseorang itu, kita akan berusaha sedaya upaya untuk mengetahui apa yang dia buat bukan? Dan terkadang aku semacam kesal menjadi seorang guru yang celik twitter, facebook, blog dan sebagainya. Kerana secara tak langsung aku akan terdedah dengan peragai sebenar mereka ini. Ohh...sungguh aku katakan, kebenaran itu sangat perit untuk aku telan.

Di sekolah mereka kurang adab, tak mahu belajar dengan alasan mereka sudah tiada exam PMR, yang Islam, tidak mahu solat. Ok, aku bercakap skop sekolah aku ya. Umur mereka sekitar 13, 14 tahun. Jangan fikir aku samakan semua pelajar, tidak sama sekali. Ok, bab solat tu aku tersangatlah sedih. Dipaksa, dikejar, dah sampai surau masih tak nak juga solat. Sanggup lari. Ya Allah, jika inilah gayanya, bagaimana nanti mereka mahu memimpin negara. Kalau yang perempuan pula, di luar sekolah itu memang hilanglah tudungnya. Ohh..untuk pengetahuan kepala aku masih tidak boleh terima yang mendedahkan rambut itu perkara biasa. Aku ortodoks. Itu belum lagi masuk bab bercinta. Bayangkan baru tingkatan 2 sudah ber'mama' ber'papa'...aduh...

Yang aku hairannya, mereka semacam sudah hilang perasaan malu dalam diri. Baik lelaki, baik perempuan. Menjerit, melolong, perkataan-perkataan yang negatif tu jangan cakap la..pelajar melayunya begitu, pelajar cinanya begini. Aku juga pernah di'cib*i' di'lanc*u' oleh pelajar aku sendiri. Tanpa rasa hormat. Sehinggakan aku merasakan aku ini hanyalah patung bernyawa yang hidup tanpa perasaan, yang boleh disepak, dipijak. Rotan? Jauh sekali. Denda? Cubit? Silap-silap haribulan cikgu juga disamannya. Cikgu juga yang salah. Ibu bapa zaman sekarang hanya tahu menangkan anak tanpa usul periksa.

Itulah pelajar-pelajar aku. Ditegur cara baik, ulang lagi perkara yang sama. Diguna cara kasar memberontak, maki di twitter. Tak pasal-pasal cikgu itu juga yang s**l, b**i, f**k. Lalu bagaimana??

Friday, January 25, 2013

Pelajaran baru 2013

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

Dah hampir sebulan berada dalam tahun baru. Cepat betul masa bergerak. Pantas. Dah banyak juga pelajaran yang dikutip. Belajar dengan pelajar sendiri. Belajar menjadi ikhlas. Belajar bekerja dengan orang yang mempunyai kuasa. Belajar mengawal emosi. Belajar menghargai kelebihan dan kelemahan orang lain.

Ahh...banyak. Dan yang paling penting, belajar untuk keluar dari 'comfort zone'. Ya..bila berlaku sesuatu yang tidak terjangka oleh akal, sungguh menguji ketahanan mental dan fizikal. Dan aku sedang belajar. Belajar menerima hakikat itu.

Dan kita takkan pernah berhenti belajar. Walaupun sudah menjadi 'pengajar', proses itu tidak akan terhenti. Malah ketika sedang bekerja juga kita sedang belajar. Belajar dari pengalaman. Belajar dengan orang sekeliling. Banyak yang ingin aku kongsikan tentang pelajaran yang aku dapat. Banyak.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan, masuk tahun baru menandakan bertambah juga umur. Bertambah kerutan dan kedutan di wajah. Apapun, di awal tahun ini aku belajar untuk menjadi diri sendiri. Belajar untuk memahami diri sendiri yang terkadang susah untuk makan ajar. Belajar untuk menjadi tenaga pengajar yang terbaik buat pelajarnya.

Monday, October 15, 2012

Aku sudah tiada jiwa blogger kah?

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

Apa khabar? Aku harap kalian sihat-sihat selalu. Aku sudah tiada jiwa blogger? Satu persoalan yang harus dijawab. Menjadi seorang blogger itu perlukan jiwakah? Menjadi seorang aku, setiap kali melihat dashboard, idea yang sebelumnya mencurah-curah hilang entah ke mana? Buktinya, blog aku berhabuk bersawang dan berdebu tanpa sebarang entri. Petanda apakah itu?

Menjadi seorang blogger itu perlukan komitmen. Setuju? Kerana setiap blog itu pasti ada pembacanya tersendiri. Bila ada pembaca, haruslah ada entri-entri yang terkini. Betul tak? Blog aku ini entahkan ada pembaca ke tidak ya? Oh...jangan tertipu dengan bilangan follower itu. Kerana itu tidak mencerminkan bilangan trafik anda...

Lalu mengapa tidak update? Jawapan cliche - tiada masa. Ya...kekangan masa membuatkan blog aku terbiar sepi tanpa entri. Terbiar tidak dijaga. Mengapa tidak schedule post sahaja? Entah...kerana aku tidak tahu penyakit apa yang menjangkiti diri aku kerana aku buntu, stuck tiap kali aku punya niat untuk update. Oleh itu, kepada kalian yang masih berjiwa blogger, teruskan menulis. Jangan jadi seperti aku...jiwanya ada, tapi komitmennya entah ke mana. Ikut sedap jari, sesedap rasa bila aku mahu menulis.

Oh ya, hari ini merupakan kertas terakhir bagi calon-calon PMR yang tidak mengambil subjek Bahasa Arab, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Sudah "Merdeka" lah ya. Mesti seronok bukan main. Tapi harus diingat, dalam seronok-seronok tu, jangan tinggalkan buku terus ya. Anda masih ada 2 tahun lagi sebelum peperiksaan yang paling besar iaitu SPM. Tapi kalau nak release tension tu bolehlah...dipersilakan...
Buat calon-calon yang akan mengambil peperiksaan hari esok, selamat maju jaya diucapkan. Jawablah sehabis baik agar mendapat keputusan yang cemerlang. Kelebihan pada diri anda kerana mengambil subjek lebih daripada orang lain. Aku juga begitu suatu masa dahulu :)

Sebelum aku merapu entah apa-apa lagi, aku nak ucapkan terima kasih kepada mereka yang sudi singgah walau sekejap ke blog usang aku ini. Yang meninggalkan komen apatah lagi. Aku sangat-sangat menghargainya. Terima kasih.

Sunday, September 16, 2012

Saya nak berhenti sekolah

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

Apa khabar semua? Aku harap semuanya sihat hendaknya. Lamanya aku tak update blog, lama juga aku memendam rasa. Semakin lama aku menimba pengalaman sebagai seorang guru, semakin berat tanggungjawab yang terasa di atas bahuku ini.

Kisahnya selepas dapat jadual baru, aku dapat mengajar satu kelas ni. Mereka ramai..semua pelajar Melayu. Tapi dalam ramai-ramai tu, ada seorang yang boleh dikatakan bermasalah sedikit. Ceritanya dia hendak berhenti sekolah. Aku tidak mengenalinya kerana sebelum ini aku tidak mengajarnya. Bila mengajar kelasnya baru aku tahu kisah dia. 

Yang hairannya, dia tegar mengatakan kepadaku yang dia mahu berhenti sekolah. Alahai...luluhnya hati aku pada masa itu hanya Tuhan je yang tahu. Tanpa dia memberi peluang kepadaku untuk menasihatinya, dia terus-terusan menyatakan hasratnya untuk berhenti. Dah tak mahu belajar katanya. Bila ditanya, tak nak belajar nak buat apa? Nak kerja...

Mengapalah singkat sungguh fikirannya..dunia sekarang ni, tanpa SPM, kerja apalah sangat...takkan selamanya hanya mahu menjadi buruh. Kerja penat tetapi pulangannya sedikit? Mesti ada sesuatu yang berlaku membuatkan dia begitu tegar untuk berhenti. Satu desakan yang maha kuat. Kalau dia katakan dia sudah terlambat, masih sempat lagi...yang penting diri sendiri ada keinginan untuk belajar, untuk berubah.

Ah, cikgu mana kenal saya. Main serkap jarang je..bagaimana cikgu nak mengenali kamu andainya kamu tak beri peluang untuk cikgu dengar masalah kamu... Aku berharap sangat agar dia menukar keputusannya untuk berhenti. Ibu bapa mana yang tak nak lihat anaknya berjaya? Mudah-mudahan Allah bukakan hatinya untuk terus belajar dan terang hatinya untuk menerima pelajaran...

Tuesday, June 19, 2012

STRESS! Pergi main jauh-jauh.

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera
Minggu ini, minggu depan dan minggu-minggu seterusnya akan penuh dengan kesibukan. Masa ni baru merasa bila dapat 3, 4 kerja serentak. Bila kerja yang sebelum ni belum pun siap, kerja yang baru telah pun menunggu...wa...macam ni nak belajar je lah..taknak kerja..boleh?

Di saat-saat kepala kusut memikirkan pelbagai benda yang belum settle, akal banyak kali mengingatkan agar tidak mengikut kata hari. Be rational, be professional. Haa...tamau stress..tamau tertekan...tamau depressed.. Senyum je..tapi dalam kepala....kusut..kusut..

Nak pinjam kocek doraemon, boleh?

Monday, May 28, 2012

Program lestari: Envirobike 2012

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera


Pada hari Sabtu lepas, terdapat satu program yang dinamakan Envirobike telah dijalankan sempena program lestari sekolah. Bila cakap pasal lestari je, mesti dalam kepala tu fikir pasal alam sekitar. Lestari ni maksudnya tidak berubah, kekal. Dengan adanya program macam ni, kita dapat mendedahkan pelajar dengan keindahan alam sekitar. Walaupun sesuatu kawasan itu dibangunkan untuk perumahan misalnya, pokok-pokok tetap dipelihara atau dikekalkan. Mana yang tidak dapat diselamatkan tu, mungkin ditanam semula. 

Perjalanan bermula dari sekolah, masuk ke kawasan Setia Indah terus ke Seri Austin. Dari situ terus ke checpoint 1. Aktiviti membaling bebola lumpur (mud ball) ke dalam tasik Seri Austin. Bebola lumpur ni fungsinya untuk memelihara tasik tu daripada pembiakan alga. 

Bebola lumpur

Acara membaling mud balls beramai-ramai


Dari Seri Austin, kita ke checkpoint seterusnya di Adda Heights. Di sini, kita buat aktiviti menanam pokok pulak. Ada dalam 10 batang pokok, sebagai simbolik lah...Secara keseluruhan, aktiviti ni bagi aku sangat bagus untuk mendedahkan pelajar-pelajar tentang alam sekitar. Sambil beriadah tu, sambil menghargai alam sekeliling. 


Selesai sahaja aktiviti di checkpoint ke-2 ni, kayuhan basikal diteruskan lagi untuk kembali ke sekolah. 

#Bisik-bisik: Masa aku sekolah dulu, takde pulak lestari-lestari ni. Kalau ada, dah lama aku join sekaki. Tapi dulu bukan basikal fixie la macam budak-budak sekarang..hm...

Monday, May 21, 2012

Penantian berakhir

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera


Akhirnya terjawab sudah teka-teki selama setahun. Keluar juga senarai nama penempatan guru bulan 5 di sekolah menengah. Selama setahun itu, banyak sudah yang ditempuh, banyak sudah yang dipelajari.
Dan aku tahu, Allah dah beri yang terbaik untuk aku. Walaupun dalam hati meronta-ronta ingin lari.
Berlapang dada. Ikhlaskan hati. Itulah yang terbaik.


Aku harap aku akan menjadi seorang guru cemerlang yang akan melahirkan anak murid yang cemerlang di dunia dan akhirat. Doakan mudah-mudahan.

Thursday, March 29, 2012

Kesibukan yang amat

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera


Selamat pagi. Ha..sempat lagi nak update walaupun nak pergi sekolah dah kan... minggu ini memang minggu yang sangat sangat sangat sibuk bagi cikgu-cikgu macam aku ni. Sebab minggu ni minggu terakhir kami berkhidmat di sekolah. Banyak tugas yang perlu diselesaikan. Banyak buku yang perlu ditanda. Projek mural dan bermacam-macam projek lagilah. Doakan aku dapat sempurnakan tanggungjawab yang diberi. Minggu depan? Free....boleh update hari-hari!

Sunday, March 25, 2012

Tazkiyatun nafs dan maulidur rasul

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera


Hari Jumaat lepas terlibat dengan program tazkiyatun nafs sekolah. Maka pelajar-pelajar tingkatan 3 dan 5 juga pelajar KAA dikehendaki untuk tidur di sekolah kerana pada keesokan paginya akan diadakan qiamullail. Dan bila tengok senarai nama AJK, nama aku merupakan antara yang terpilih untuk tidur besama-sama pelajar pada malam itu. Menarik.

Bermula sebelah pagi Jumaat, diadakan sembelihan lembu oleh guru-guru lelaki dan pelajar-pelajar lelaki yang terlibat. Excited juga budak-budak tengok sembelihan tu lebih-lebih lagi yang bukan muslim. Sambil-sambil tu guru-guru perempuan sesi petang pula rewang di kantin. Potong bawang, halia segala. 

Sebelah petang pula guru sesi pagi rewang daging lembu. First time tu aku turut serta memotong daging lembu. Selalunya golongan lelaki yang akan buat bahagian tu. Yang perempuan selalunya sediakan bahan-bahan masakan. Tak kisahlah... Dah siap semua, balik rumah bersihkan diri, sediakan kelengkapan dan lepas Isyak baru gerak ke sekolah. Sebelah malam sebelum tidur, pelajar-pelajar supper roti cicah sup daging! Ha lepas makan semua kena tidur. Ha..bukan main liat lagi budak-budak tu nak tidur. Almaklumlah, dapat tidur dengan kawan-kawan. Budak lelaki? Harammm nak tidur. Cikgu-cikgu yang berkawal setakat tidur-tidur ayam gitulah.

Jam 4 pagi, mula qiamullail hingga subuh. Kemudian pelajar bersiap dan program disambung dengan sambutan maulidur rasul. Wah, semua pakai cantik-cantik. Yang perempuan dengan selendangnya, makeup nys..cikgu pun kalah. Yang lelaki ada yang berjubah, kurta dah macam orang arab. Habis semua acara, yang ditunggu-tunggu oleh semua. Makannnn! Semua lapar...macam biasa makan dalam talam. Talam tu dulang bagi yang tak tahu.

Satu talam makan 4 orang. Banyak nasi dan lauk...masing-masing mula senyap mengadap rezeki..

Mula-mula tu tengok nasi banyak ingatkan tak habis...tapi.....

Licin kot...yang tinggal tu dah tak dapat nak habiskan. Kenyang. Alhamdulillah...Seronok makan ramai-ramai macam ni. Dapat eratkan ukhwah gitu. Tinggal satu minggu saja lagi untuk aku berbakti di situ...aku harap segalanya berjalan lancar dan meninggalkan hanya kenangan manis untuk aku kenang sepanjang berkhidmat di sekolah itu.

Wednesday, March 7, 2012

etc

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera


Bila balik rumah petang-petang memang rasa macam ni. Otak tu blur saje. Sebab banyak sangat 'kerja' yang tidak sepatutnya ditolak kepada kami. Nasib jadi cikgu yang takde status apa-apa ni. So, sebagai orang bawahan, terima saje tugasan tu. Dan dalam hati anggap ia sebagai persediaan untuk masa hadapan.


memang dah etc. tak boleh nak fikir.


Wednesday, February 8, 2012

Kembali bertugas

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera


Huargh, setelah 4 hari bercuti tidak termasuk Jumaat, hari ini aku kembali bertugas. Rasanya orang lain pun sama macam aku kan? Harap-harapnya kita dapat menjalankan tugas dengan sebaik mungkin. Dah lama tak berdiri lama-lama, lenguh pulak kaki aku ni...penat...

Tapi dalam banyak-banyak penat, 'penat otak' la yang aku rasa paaaaaling penat sekali...hurm...kalau boleh rehat macam ni kan best..

credit

selamat bertugas semua.

Tuesday, January 17, 2012

Yes! Cikgu relief masuk

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera


Sejak minggu lepas, aku hanya dapat jadual relief (jadual ganti) guru yang tidak hadir. Setelah beberapa hari, pelajar sudah boleh cam yang mana kalau aku masuk je kelas berkenaan, maknanya cikgu mata pelajaran pada waktu itu tidak datang lah. 

Sampai ke minggu ini, aku hanya dapat relief sahaja. Jadual tetap masih belum dapat lagi. Hari ini, aku masuk saja kelas.. "Yes, cikgu relief!" Amboi, suka betul bila cikgu tak datang ya. Aku pun apa lagi.."dah, jangan nak suka sangat. Buat latihan ni dulu baru boleh buat kerja sendiri". Pelajar biasalah... alaa cikgu...banyak homework..nak hias kelas...bla..bla..bla.. Banyak betul alasan kan..

Tapi masa belajar dulu 2 kali lima jugak. Suka bila cikgu tak masuk kelas. Lagi suka bila boleh buat kerja sendiri. Bila dah jadi cikgu sekarang ni, amek kau. Hadap lah semua tu balik. Tapi budak-budak sekarang, tak sama macam dulu. Tak sama macam zaman aku sekolah dulu...setuju?

Monday, January 16, 2012

Tertinggal gitar dalam kelas

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera


Kalau sebut pasal gitar-budak sekolah, dalam kepala tu mesti terfikir Najwa Latif kan. Hai, popular sungguh adik Najwa Latif ni sekarang. Sampai aku pun terkena tempiasnya. Tapi aku tak pandai menyanyi dan main gitar. 
sumber gambar
Alkisah aku pakai shawls ke sekolah hari ini. Tapi takdelah yang macam Najwa Latif pakai dalam gambar tu. Maunya kena kejar dengan pengetua pakai macam tu. Pakai gaya biasa sajalah..yang penting nampak kemas. So macam biasa, dapat kelas relief. Wah, boleh tahan banyak kelas juga yang kena masuk hari ni. 

Dari satu kelas ke satu kelas tak sedar dah hampir waktu balik. Masa duduk dalam bilik guru, masuk dua orang pelajar tingkatan 3 membantu guru bawa buku ke bilik guru. Tiba-tiba pelajar itu cakap, "Cikgu, cikgu tertinggal gitar kat dalam kelas". Tercengang-cengang aku dibuatnya. Rupa-rupanya daripada budak itu, aku dapat tahu bahawa mereka kata aku macam Najwa Latif hari ini. Haa..senyum je lah. Macam-macam...

p/s: Kenapa ayat aku macam skema je nih?

Friday, January 13, 2012

Gambar | Ombak rindukan INTERIM

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera


Antara sebab blog aku tak berupdate
credit

Interim? Aku pun blur-blur bila mula-mula dengar. Tapi alhamdulillah, Tuhan nak bagi rezeki, hari Jumaat lepas dapat panggilan, Isnin pergi dengar taklimat dan dapat sekolah. Syukur-syukur..Siap boleh jumpa kawan sekolah lagi masa pergi taklimat tu. Keciknya dunia.

Guru Interim ni baru sahaja diperkenalkan. Batch pertama adalah dari negeri Johor, diikuti oleh Selangor. Bagi kawan-kawan yang dapat tu, selamat bertugas. Kepada yang tak dapat, sabar la. Rezeki Tuhan tu luas...mana tahu, esok lusa?