Salam. Pada entry kali ini aku ingin menceritakan tentang sebuah kisah keluarga yang sungguh menyayat hati. Aku mendengar kisah ini buat pertama kalinya semasa meyertai program motivasi yang dianjurkan oleh Saidina Smart Consultancy semasa sedang cuti semester sem 3. Mendengar cerita ini sudah cukup untuk membuatku tersentuh dan menitiskan air mata. Sudah tentulah cerita ini diceritakan dengan penuh penghayatan oleh Pak Tam, kem komandan kami pada waktu itu.
Kisahnya bermula begini. Terdapat sebuah keluarga di sebuah perkampungan yang terdiri daripada ayah, emak, abang dan adik. Hidup mereka sungguh daif. Diibaratkan kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Rumah mereka hanyalah terdiri daripada papan-papan plywood dan kotak-kotak yang disusun membentuk rumah cukup untuk mereka berteduh. Tiada sebarang perabot di dalamnya apatah lagi sebarang perhiasan-perhiasan dinding. Ayah hanyalah bekerja sebagai buruh kasar membuat bangunan tidak jauh daripada kampung tempat tinggal mereka. Setiap hari, ayahlah yang menyara hidup mereka sekeluarga. Nak dijadikan cerita, pada suatu hari si ayah ini telah mengalami kemalangan di tempat kerja. Beliau telah terjatuh dari tingkat dua belas bangunan dan badannya menghempap cerucuk-cerucuk tajam. Tidak dapat digambarkan rupa mayat si ayah. Maka, kerja mencari nafkah terletak di bahu emak.
Setiap hari, emak akan bekerja dari rumah ke rumah mengambil upah mencuci baju, menyapu laman dan sebagainya untuk memberi makanan kepada anak-anaknya sehari-hari. Jiran-jiran mereka juga ada memberi makanan kepada mereka atas rasa belas kasihan sesama tetangga. Setiap pagi, emak hanya mampu menyediakan secawan air teh 'o' dan sekeping biskut kering kepada abang dan adik. Itulah sarapan mereka sehari-hari. Mereka tidak membawa wang ke sekolah, juga tidak membawa bekal. Pada waktu rehat, sedang kawan-kawan mereka yang lain sedang enak menjamu selera di kantin, mereka lebih selesa berehat di bawah pokok di padang sekolah. Menahan perut yang lapar sehingga tamat waktu sekolah. Setelah tamat waktu persekolahan, mereka akan menunggu kepulangan emak pada waktu petang untuk mengisi perut mereka. Dan begitulah rutin hidup mereka semenjak kematian ayah.
Pada suatu pagi, semasa abang dan adik bersarapan, emak telah berpesan kepada abang. "Abang, Kalau mak balik lambat hari ini, abang jaga adik ya?". Si abang tertanya-tanya mengapa emaknya berkata begitu. Dirinya mula rasa tidak sedap hati. Namun disembunyikan perasaan itu dihadapan emaknya. "Baiklah emak". Jawabnya. Setelah itu, mereka berdua pergi ke sekolah seperti biasa. Pada sebelah petangnya, mereka menunggu kepulangan emak seperti biasa. Namun, sekian lama menunggu, kelibat emak tidak kunjung tiba. Si abang mula memikirkan kata-kata emak pagi tadi. Dan si adik pula mula menggigil kelaparan. Sudah berkali-kali dia bertanya kepada si abang akan kepulangan ibu mereka. Si abang hanya mampu menyuruh adik bersabar. Si adik mula menangis kelaparan. Bibirnya tidak henti-henti memanggil emak. Melihatkan si adik menangis, maka abang pun mengajak si adik mencari emak. "Dik, jom kita cari emak." Dipimpinnya tangan si adik dari satu rumah ke rumah. Kesemua jiran mereka mengatakan yang si emak sudah lama balik. Tiba di sebuah rumah yang agak mewah, mereka berhenti. Pemilik rumah tersebut mengadakan jamuan. Dengan pintu pagar yang terbuka dan makanan yang terhidang di atas meja, si adik berkata kepada si abang. "Bang, makanan bang. Adik lapar...". Tiada orang kelihatan di luar rumah tersebut. Abang berkira-kira untuk mengambil makanan yang terhidang di atas meja. Dia berkata kepada adik, "Adik, adik tunggu sini, abang pergi ambilkan makanan untuk adik". Maka si abang tadi melihat-lihat ke dalam rumah tersebut dan makanan yang terhidang. Dia hanya terfikirkan adiknya yang lapar. Maka saat dia mencapai roti di atas rumah tersebut, tuan rumah tersedar dan menjerit, "Pencuri!" Dilepaskan dua ekor anjing yang garang lagi menakutkan. Si abang berlari sekuat hati dan terlepas roti yang diambil dari tangannya. Dia menjerit kepada adik, "Adikkkkkk, lariiiii!" "Lariiiiiiiiiiiiiii!" "Lari dikkkkkk!"
Si abang sempat mencapai tangan adik. Mereka berdua berlari sekuat hati. Dua ekor anjing di belakang semakin hampir. Dan tiba-tiba, pegangan tangan si adik terlepas. Abang ingin berpatah balik namun anjing itu semakin hampir. Si adik menjerit, "Abanggg! Cari emak bang. Cari emakkkkk!!" Dan itulah suara adik yang didengarinya buat kali terakhir. Si adik telah dibaham dengan lahapnya oleh anjing-anjing yang sememangnya lapar itu. si abang tergamam. Dia tidak mampu berbuat apa-apa. Yang hanya mampu dibuat ialah berlari sekuat hati dengan air mata berjuraian. Tiba di sebuah simpang, si abang terlihat emak tersenyum kepadanya sambil mengayuh basikal dengan makanan bergantungan di kiri dan kanan pemegang. Si abang menjerit, "Emak! Emak!" "Tengok kanan mak! Tengok kanannnn!" Baru sahaja emaknya menoleh, "Booomm!!" Sebuah van telah melanggar emaknya. Bertaburan makanan di atas jalan. Setelah kejadian menyedihkan itu, kehidupan abang tidak lagi terurus. Setiap hari abang akan menziarahi kubur ayah, emak dan adiknya. Setiap pagi, di kubur adiknya, dia akan membawa secawan teh 'o' dan sekeping biskut kering pemberian jiran terdekat. Di kepala kubur adiknya, dia akan unjurkan teh 'o' dan biskut kering tersebut. "Dik, bangunlah dik, adik kata adik lapar...abang ada bawakan adik makanan ni...adik, makanlah... Di kubur ayah pula, abang menangis lagi, "Ayah, kenapa ayah pergi tinggalkan kami dahulu...kenapa...". Di kubur emak, lain pula yang diucapkannya, "Emak, kenapa semua tinggalkan abang sorang-sorang, abang pun nak pindah rumah baru mak...". Begitulah abang setelah kematian emak dan adiknya. Akalnya menjadi tidak waras dan hidupnya sudah tidak terurus. Kematian ahli keluarga di depan mata memberi tamparan yang sangat hebat kepadanya. Sekian sahaja kisah tentang keluarga ini.
Jadi, marilah kita menghargai orang yang berada disekeliling kita kerana esok kita mungkin tidak akan menemuinya lagi. Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment