Wednesday, February 10, 2021

Swab test pertama bagi tahun 2021

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

Bismillahirrahmanirrahim, setelah sekian lama tak menulis...fuhh. Itupun gara-gara aku kuarantin diri sendiri selepas menjalankan swab test Covid. Atas sebab yang penting, aku mengambil keputusan untuk swab test dan kuarantin sehingga keputusan RTK-PCR aku keluar. Maka masa yang ada ni, mulalah mencari idea nak buat apa. Berbual dengan kakak satu ofis, tiba-tiba keluar cerita blog. Dan...kembalilah aku melihat blog Wardah Alisya yang dah lama bersawang ni.

So, kisahnya lepas dapat tahu ada seorang kontak rapat aku positif, maka berderau lah darah. Macam-macam fikir termasuk anak yang masih kecil dan orang tua di rumah. Terus buat appoinment di Klinik Afiat, Dato Onn sebab klinik tu ada tawarkan ujian untuk swab dan sebenarnya klinik tu yang paling hampir dengan rumah. Dalam keadaan sarat sekarang ni, tak mampu nak memandu jauh-jauh walaupun boleh dapat keputusan dalam masa beberapa jam. 

Bila maklumkan suami, ada kes di tempat kerja, suami memang minta aku untuk buat swab demi keselamatan ahli keluarga dan suami minta untuk aku kuarantin. Setakat ni aku tiada sebarang simptom dan harapnya keputusan swab tu nanti negatif la. Aku pilih untuk bayar secara online transfer dan sampai sahaja klinik, ada khemah di luar klinik khas untuk buat ujian saringan. Petugas lengkap memakai PPE dan mengikut SOP. Aku diminta untuk menyemak nama, no ic dan nombor telefon kerana keputusan akan diberi melalui whatsapp sahaja dan dalam bentuk pdf file.

Duduk sahaja, petugas dah sedia dengan cotton swab. Mula-mula dia swab tekak dahulu. Perlu dongakkan kepala ke atas dan dia pun swab. Untuk tekak, bagi aku, ok je rasa geli-geli. Kemudian, tibalah masa yang paling mendebarkan iaitu swab hidung. Petugas swab hidung yang sebelah kiri. Masuk sahaja cotton swab tu, ya Allah, memang sampai hujung batang hidung rasanya dan terasa seperti dipusing-pusingkan cotton swab tu. Aku layan je untuk tak keraskan badan supaya proses berjalan lancar. Perit rasa hidung, air mata meleleh tak boleh kawal. Mujur tak bersin. Dah siap. Kepada yang nak menjalankan ujian saringan di Klinik Afiat, aku sertakan iklan yang diambil dari facebook page klinik.


Aku call nombor yang tertera, kemudian petugas akan beri satu lagi nombor untuk berwhatsapp terus dengan petugas klinik. Maka bermulalah kuarantin diri untuk 48 jam sehingga keputusan ujian saringan aku keluar. Mohon doakan yang aku negatif COVID ni. Siang malam memang mohon pada Allah agar dijauhkan penyakit ni dalam ahli keluarga. 

Peringatan untuk diri sendiri, sentiasa waspada dan jangan tinggalkan mask walaupun sekejap. Bila jadi macam ni, kau akan rewind balik setiap perbuatan untuk mencari punca kepada penyebab yang kalau-kalau kau dijangkiti. 

Betul lah kata orang, tilam yang empuk belum tentu boleh membeli lenanya tidur.
p/s: memang tak dapat tidur malam tadi..lebih-lebih lagi bila rindukan anak.

Thursday, July 20, 2017

salam aidilfitri

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

SALAM AIDILFITRI buat semua rakan-rakan blogger.. 

Menginjak 2017, banyak yang berubah. Alhamdulillah, pada tahun ini satu perubahan besar berlaku dalam hidup. Komitmen semakin bertambah, umur juga semakin menginjak masuk 3 series. Tak sedar cepat sungguh masa berlalu.

Komitmen kerja juga semakin bertambah dan mencabar. Entahlah, kadang-kadang terasa mahu bersara awal. Rasa macam fed-up pun ada. Namun, demi mencari rezeki, cepat-cepat niat tersebut dipadamkan. Perjalanan masih jauh dan berliku. 

Apa-apapun setiap apa yang kita lakukan harus diniatkan kerana Allah taala agar mendapat ganjaran pahala dan menjadi saham di sana.
Entah bila pula akan menulis lagi..
Rindu sangat wardah alisya yang dulu..

Hingga bertemu lagi.
Salam...

Saturday, June 25, 2016

8 tahun usia Wardah Alisya

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

Salam Ramadhan 1437 H.

Pejam celik dah lapan tahun rupanya aku ber'blog'. Kalau ada anak ni, dah masuk darjah 2 pun.. Aku mula blog tahun 2009. Masa tu sem 5 kalau tak silap. Pencetus utama blogging adalah sebab kena hantar assignment guna blog. Subjek Biochemistry, Dr Shakinaz.. kalau tak, mungkin aku tak tahu kut blog tu apa.. Terima kasih Dr...

Bila aku skrol balik post-post lama.. kelakar pun ada. Macam mana la aku boleh terfikir nak post pasal entri tu? Paling banyak post aku tahun 2010 dan 2011.. masa tu aku mula kenal dengan blogger-blogger terkenal macam Ben Ashaari, Cik Epal, Maria Elena, Dena Bahrin, Fatin Liyana, Shea Rasol, Mia Liyana dan beberapa blogger lagi. Sekarang dorang dah establish pun. Dan aku masih follow kisah mereka sampai sekarang :) Lagi, masa tu penggunaan gajet belum meluas.. Samsung pun baru launch Galaxy S2..

Masuk tahun 2012, post aku mula surut.. sebab masa tu dah mula kerja. Sibuk dan penat. Baru-baru kerja kan.. Tapi bila dah lama tak menulis, rasa canggung pun ada. Idea pun dah takde nak menulis dan dah mula fikir sensitiviti masyarakat.. silap tulis tak pasal-pasal viral pulak kan. Dan aku nampak, sedikit demi sedikit penulisan aku berubah.. kut la aku perasan.. hahaha..

Ramai jugak blogger-blogger yang sama naik macam aku dulu, sekarang dah tak aktif.. ingatkan aku sorang je. Aku dapat rasakan antara puncanya ialah masing-masing dah bekerja ataupun fokus kepada keluarga.. Apapun, semuanya atas niat.. Kalau suka-suka macam aku ni, on off la entrinya.. Cepatnya masa berlalu. Umur pun dah makin banyak. Rakan-rakan yang aktif blog pun dah bawa haluan masing-masing..

Blogging ni dekat dengan jiwa aku.. kalau ada kesempatan, akan aku update lagi.. Insya Allah.
Akhir kata, selamat berpuasa kepada semua..
Mudah-mudahan kita diberi kesempatan lagi untuk bertemu ramadhan akan datang...

Tuesday, March 8, 2016

Genap setahun berdiam diri

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

Terasa janggal pula nak menulis. Aku tengok last post aku tahun lepas bulan Mac. Setahun tu blog aku ni terbiar. Terfikir, apa yang dah aku buat dalam masa setahun ni. Bila tengok post-post yang terdahulu, rupanya dah 6 tahun sejak aku mula blogging. Pehh, lama tu! Sayang pula nak delete. Banyak suka-duka dah aku kongsikan dalam blog ni..walaupun kadang-kadang aku merapu sorang-sorang.. Bila diteliti, aku mula on off sejak mula bekerja.. entah. seiring usia aku ni bertambah, banyak yang aku fikirkan sebelum nak menulis. Lagi-lagi dalam zaman penuh fitnah dan manipulasi sekarang. Seiring meningkat usia, aku tak lagi seghairah dulu untuk bercerita apa sahaja yang bermain di benak fikiran. Lebih suka monolog sendiri dari bercerita. Tapi aku masih ikuti la kisah-kisah blogger yang aktif sejak dari dulu lagi dan aku memang kagum la dengan dorang ni. Antaranya cik Epal, fatin liyana dan shea rasol. Mereka ni antara orang yang konsisten kemaskini blog walaupun ada yang dah berumah tangga. [respect]

Mungkin tahun 2016 ni aku kembali aktif?
Mungkin.

Tuesday, March 17, 2015

Nak link blog boleh ?? #1

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

Dah lama tak menulis..so kita warm up dengan join segmen la ye..

Link

Dah lama tak update..nak letak link kat gambar pun dah lupa..
Banyak makan semut agaknye..

Selamat blogwalking!

Tuesday, February 3, 2015

Saat diuji

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

Tak pernah terlintas pun sesuatu akan berlaku dan ia telah pun berlaku ke atas mu,
Tika itu perasaan takut, sedih, risau bercampur-baur sekaligus membuatmu tidur berteman air mata,
Bernasib baik sekiranya mampu lelap buat seketika.
"Perempuan dan overthinking berpisah tiada", aku petik kata-kata seorang blogger terkenal.
Memang itulah yang berlaku.

Sehingga sampai tahap aku memikirkan mungkin esok sudah tiada buatku.
Lantas segala apa yang telah aku lakukan sepanjang 26 tahun aku hidup bermain di kepala ibarat sebuah filem panjang yang diputarkan kembali.
Jujur. Rasa menyesal yang bertandang. Ingin aku kembali untuk membetulkan segala kesilapan dan kesalahan aku sesama manusia. Apatah lagi kesalahanku dengan Tuhan.

Walaupun otakku cuba menasihat agar berfikiran positif, cuba menenangkan hati bahawa tidak mengapa, tiada apa-apa yang berlaku, namun mata ini tidak juga mahu berhenti menangis.
Dan fitrah kejadian Tuhan, saat itu memang hati mulut fikiran terus-terusan mengucapkan kalimah Allah, terus-terusan memohon agar dikuatkan semangat, terus-terusan memohon dosa diampunkan, terus-terusan meminta agar berlaku keajaiban dan apa yang berlaku itu ialah mimpi.

Tidak akan aku lupakan saat itu. Kepada ibu juga aku mengadu. segala kesedihan kegelisahan.
Tuhan, berikan aku peluang untuk bertaubat...
Kuatkan semangatku untuk menghadapi ujian-MU.

Tuesday, September 30, 2014

Doaku dari jauh

Doaku buatmu yang jauh
Agar engkau baik-baik aja
Sihat selalu, senyum selalu
Seperti aku.

Doaku juga agar engkau 
Sentiasa di bawah lindungan Tuhan
Kerana aku jauh darimu

Moga ditetapkan hati kita
Digerakkan hati kita
Untuk saling mendoakan
yang terbaik.

-saya, jb-

Friday, September 12, 2014

Awak

Awak...
Awak...
Awak...

tabiat yang lama dulu ditinggalkan
kembali
setiapkali sentiasa ingatkan diri
walau hati kembali terisi
kerna parut itu
takkan pernah hilang
walau luka itu sembuh

Awak...
Awak...
Awak...

setiapkali tika 
memohon pada yang Esa
tak aku lupa untuk titipkan 
agar digerakkan hati

'kita'

-saya, jb-


Wednesday, July 9, 2014

Rindu kali sejuta

Kau teringat 'kawan' lama kau
Kau peluk teddy dia bagi tiap-tiap malam
Kau nak text tapi takut tak dilayan
Kau nak call tapi takde kekuatan
Kau nak jumpa tapi malu
Kau sengaja buat helah konon-konon nak tanya khabar
Padahal kau nak bagitahu, "aku rindu kaulah bodoh"
Kau tak pasti sampai bila kau akan begini
Dah bertahun-tahu berlalu masih tak kebah, masih lemah, masih berharap
Cepatlah sampai utusan keramat
Agar kau lenyap dari ingatan
Agar aku tak rindu kau lagi

Saturday, June 28, 2014

Salam Ramadhan

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

Sudah agak lama tidak menghantar apa-apa di blog buruk ni. Berhabuk bersawang berdebu dah kan...
Mungkin faktor usia kot... hahaha.. ada kaitan ke? Sempena menyambut bulan yang dinanti-nantikan bulan Ramadhan yang mulia ni, aku nak ucapkan selamat berpuasa kepada semua umat Islam di seluruh dunia..

Kepada teman-teman yang mengenali aku, mohon maaf andai terkasar bahasa tersalah kata.
Maafkanlah aku ye.
Semoga dalam bulan yang mulia ni dapat kita sama-sama perbaiki diri agar menjadi yang lebih baik..insyaallah..ok dah. tu je.

*tiapkali datang Ramadhan, aku akan teringat cerita Chad dalam Contengan Jalanan - Hlovate
memang terkesan sangat kat diri aku.. "the eleventh hour"
**tiapkali Ramadhan jugak akan mengingatkan aku kepada masa lalu yang pernah berlaku dalam hidup aku

Wednesday, February 5, 2014

cakap siang pandang-pandang

Menjadi diri aku, kadang-kadang amat payah
mata aku cepat nampak kesalahan
telinga aku cepat tangkap kata-kata sinis
terutama bila aku menjadi fokus umpatan itu
ohhh...sungguh aku tidak sanggup mendengarnya

hati pedih, mata menyampah lihat si pengata
sekali lagi otak berperang dengan hati
otak kata sabar
hati kata menjerit
ah, diamkan saja agar tidak berubah riak
dalam hati Tuhan saja tahu

aku akui satu perkara
kadang-kadang kita tak sedar kita mengata orang
tapi bila kita berada di tempat dia...
baru kita tahu apa rasanya
juga bila diri kita dibanding-bandingkan
kita, cara kita. mana sama dengan orang lain kan?

betapa susahnya untuk tidak menghakimi orang lain.
begitu susah juga untuk menjaga agar tidak mengata orang
kena kat batang hidung sendiri baru tahu kan....


**tetap cuba untuk bersabar selagi mampu
-agha-

Sunday, February 2, 2014

kotor

kadang-kadang aku rasa aku kotor
hati kotor
mata kotor
mulut busuk
entah berapa lama lagi masa yang ada
sebelum aku tutup mata
sempatkah untuk aku cuci segala kekotoran yang sudah tercalit

kadang-kadang aku rasa benci
dengan diri sendiri
hati tidak sehaluan dengan otak
masing-masing berlawan
dan akhirnya aku akur

bodohnya aku
kerana membiarkan mereka dikotori
lalu rasa bersalah itu datang
menjerut rasa
dan ia kekal



**rasa bersalah
-agha, jb-

Sunday, November 24, 2013

Pelajaran baru

Tahun ni, satu lagi pelajaran baru yang aku pelajari dalam kerjaya aku. Pertama kali jaga spm. Dan pertama kali juga bertugas di hospital. Sungguh sebelum ni tak pernah terfikir pulak bagaimana agaknya pelajar-pelajar yang menjawab peperiksaan di hospital. Maka berulang-alik lah aku dari rumah ke hospital.

Hospital. Faham-faham sajalah bagaimana keadaannya. Macam aku ni nak jejakkan kaki ke hospital tu memang tak lah kalau tiada apa-apa urusan kan..tapi dalam masa hampir sebulan ni, itulah tempat yang aku selalu ulang-alik. Banyak yang aku belajar. Bila aku lihat pesakit-pesakit di hospital tu, buat aku berfikir betapa beruntungnya aku. Allah masih belum tarik nikmat sihat tu daripada aku. Alhamdulillah.

Satu lagi yang menyentuh hati aku ialah kasih sayang seorang ibu, seorang ayah, seorang suami, seorang isteri, seorang adik, seorang kakak, seorang abang dan sesiapa sahaja terhadap orang-orang yang mereka kasihi. Betapa setianya ibu temankan anaknya, melayan keluh kesah anak mereka, berdoa agar Tuhan kurniakan nikmat sihat terhadap anak mereka. Juga buat aku terfikir, secekal itukah aku nanti...

Dan akhir sekali, aku nak lahirkan rasa kagum aku kepada petugas-petugas di hospital. Melayan pesakit yang berbagai-bagai ragam, berbagai-bagai kerenah. Insya Allah jika kita menjalankan tugas kita dengan ikhlas, ganjaran di sana menanti kita..mudah-mudahan.

Buat calon-calon yang mengambil peperiksaan di hospital, kuatkan semangat...ambil lah kesakitan itu sebagai dugaan dari Allah. Jangan cepat putus asa, jangan cepat patah semangat.

p/s: Dalam tempoh ni, aku masih belum terserempak dengan kawan-kawan aku yang tengah buat houseman dekat sini..kalau ada rezeki, insya Allah..aku bangga dengan kalian.

Thursday, October 17, 2013

Ohh Yuna

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

Tak tahu kenapa suka sangat Yuna. Suka dengar suara dia. Lagu-lagu dia...
Inspiring. Tak sabar nak tunggu album dia yang terbaru dilancarkan - Nocturnal
Setakat ni, lagu-lagunya boleh dikatakan rancak, happy gitu.
Yang dah dengar setakat ni untuk album Nocturnal
I wanna go, rescue, falling & colours


Ya Allah, semua best. Untuk album kali ini aku rasa lain sikit lagu dia.
Sebelum ni lagunya more to sedih sentimental gitu.
And Yuna punya vlog tour pun aku dah tengok semua.
Susah senang dia kat negara orang.
All the best Yuna..!

Album baru dia release 29 Oktober ni.
Will get it soon!

Wednesday, October 2, 2013

Bermulanya peperiksaan Penilaian Menengah Rendah

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

Bulan Oktober dibuka dengan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah yang bermula pada hari ini, 02/10/2013 dan akan berakhir pada 09/10/2013. Tentunya pelajar-pelajar tidak kurang guru-guru juga merasai debaran peperiksaan ini. Tahun terakhir kan...

Semalam, pelajar-pelajar aku datang mohon restu, minta maaf dan sebagainya. Jelas aku lihat ada sedikit gentar dalam hati mereka. Ya, aku juga turut merasainya. Walaupun aku tidak lagi mengajar mereka pada tahun ini. Jadi aku nak ucapkan selamat menduduki peperiksaan kepada semua pelajar tingkatan 3 batch 98 khasnya. Ingat, segala USAHA, penat belajar, bangun malam, tusyen, group discussion dan sebagainya akan terbayar dengan kejayaan. Insya Allah..

Tapi, ia mestilah diiringi dengan
DOA + TAWAKKAL

Sedikit tips:

1. Sebelum tidur pastikan slip peperiksaan, kad pengenalan dan alat tulis yang berkaitan sudah dimasukkan ke dalam beg. Kalau ada kertas matematik, jangan lupa kalkulator, protraktor dan jangka lukis (compasses)

2. Pastikan baju sekolah telah digosok supaya tidak kelam kabut sekiranya terbangun lewat

3. Tidur awal supaya dapat keesokannya otak dalam keadaan fresh.

4. Semak jadual supaya anda betul-betul tahu subjek apa yang akan dijawab keesokan harinya

5. Sebelum ke sekolah, alas perut dengan sedikit makanan. Susu, roti, biskut dan sebagainya.

6. Salam tangan ibu bapa dan mohon mereka doakan agar dapat menjawab soalan dengan tenang

7. Selepas tamat kertas peperiksaan, JANGAN sesekali berbincang atau mencari jawapan. Ini untuk mengelakkan daripada emosi terganggu untuk kertas seterusnya.

8. Dan yang terakhir, setelah tamat peperiksaan, bertawakkallah dan mohon doa tanpa henti agar dipermudahkan pemeriksa yang akan menanda kertas kita tu nanti..

Usaha sudah, doa sudah, kini tinggal anda untuk buat yang terbaik, berikan yang terbaik, muntahkan segala tips-tips dan apa yang telah dipelajari di atas kertas nanti..

SELAMAT BERJAYA.

Sunday, September 22, 2013

Bangun dari mimpi

Aku tak tahu kenapa
Bila tiba suatu masa 
Aku resah tanpa arah
Seperti sesuatu yang tertahan
Yang buat aku tak keruan
Mencari punca

Mungkin sebab itu..
Masa lalu yang kembali menerjah fikiran
Yang tak mungkin dapat dilupakan
Menghantui seumur hidup
Tidak!
Aku tak izinkan

Mungkin hingga suatu masa
Yang aku juga tidak tahu
Tapi aku perlukan masa..
Untuk membuang sebab itu jauh-jauh
Atau adakah kerana aku yang tak ingin membuangnya?

Sedikit demi sedikit
Lenyapkan memori itu
Kau pasti boleh
Kerana kau yang dulu
Bukanlah kau yang sekarang

Duhai hati,
Bangunlah dari mimpi
Bangunlah dari dunia khayalan palsu
Tabahlah
Suatu hari kau pasti akan melepaskannya jua...

p/s: Luka yang dalam itu pasti akan sembuh. Tapi memerlukan masa..setahun, sepuluh tahun...atau, seumur hidup?

--agha, jb--

Sunday, September 1, 2013

Guilty pleasure

Minum air. Seteguk.
Tengok dia.
Skrol timeline twitter.
Tengok dia lagi.
Skrol, skrol
Minum air.
Sabar..sabar..
Tapi, mata ni degil.
Toleh lagi.
Telan air liur.
Ok.
Surrender.

Thursday, August 29, 2013

Bahagia

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

Entri aku kali ini adalah respons kepada entri "Jika bahagia boleh dibeli, berapakah harganya?" by archer.
Terus terang aku masih lagi mencari erti bahagia yang sebenar. 

Zaman kanak-kanak
Bahagia bila aku dapat jumpa kawan-kawan, main sama-sama, pergi ngaji sama-sama, masa tu tak fikir apa. Tudung senget kain singkat pun tak kisah. Zaman innocent.

Zaman aku masih bersekolah
Bahagia bila aku dapat tunjukkan keputusan yang baik kepada ayah aku. Bahagia bila aku dapat buktikan yang aku memang serius dengan subjek arab aku. Dan aku rasa bahagia bila aku berjaya.

Zaman remaja
Bahagia bila ada teman hidup. Kononnya. Baru nak kenal erti cinta. Baru nak up masa tu. Tapi bahagia itu tak lama. Kenalan makin ramai. Pergaulan makin luas. Makin bebas. Jauh dari ibu bapa. Memang terasa bebas yang amat sangat. Cuma entah kenapa jauh di sudut hati rasa kekurangan. Tapi aku tak tahu apa.

Zaman dewasa
Sekarang umur aku sudah melewati dua puluhan. Bahagia yang aku rasa bila aku dapat menggenggam segulung ijazah. Bahagia yang aku rasa apabila aku tidak lagi berjauhan dengan keluarga. Bahagia kerana sudah mempunyai kewangan sendiri tanpa perlu bergantung. 

Tapi disebalik mencari kebahagian sendiri, aku ingin sekali membahagiakan orang yang berada disekeliling aku. Kerana aku yakin, bila orang sekeliling bahagia, aku juga akan turut bahagia. Dan jawapan aku kepada soalan itu, 
"kebahagiaan itu tidak boleh dibeli kerana bahagia itu lahir dari jiwa orang yang merasainya.."

Friday, August 23, 2013

Sarkastik



Bila hati dilukai dengan cara halus.
Sarkastik.
Mungkin dia tak sedar. 
Mungkin juga dia sengaja.
Hati aku sakit.
Berusaha memujuk diri.
Tidak mengapa. Tidak mengapa.
Mungkin dia tidak maksudkan
Mungkin dia tidak sedar
Mungkin juga dia sengaja.
Ahh..setan sudah mencucuk jarum
Pejam mata. tunggu 3 saat.
Dengan harapan sakit itu hilang
Masih terasa.
Senyum tanpa gula.


p/s: Sarkastik itu kadang-kadang perlu, tetapi ia juga bisa melukakan.


--agha, jb--

Halwa telinga

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

Sejak akhir-akhir ni, 10 buah lagu yang aku ulang-ulang dengar:

1. I miss you (Incubus)  - cover by Yuna
2. Stand Up - J-Min (OST To the beautiful you)
3. Lullabies - Yuna
4. Decorate - Yuna
5. When I was your man - Bruno Mars
6. Why did you come now - Jung Yup (OST I hear your voice)
7. Thinking Bout You (remix) cover - Eanmusic (soundcloud)
8. Keroncong untuk Ana - Qi ft Yuna
9. I wanna go - Yuna
10. Locked out of heaven - Bruno mars

So, tu la yang aku dok ulang-ulang dengar.
Nak menghabiskan tag sebenarnya. Dah dua tahun tak siap-siap lagi. LOL
Nak tahu pasal apa? Klik sini.